


KHATAN LELAKI – SUNATHON PERDIM
KHATAN adalah satu prosedur yang perlu dilaksanakan kepada lelaki Muslim sebagai memenuhi tuntutan kewajiban Islam. Tok Mudim (juru khatan) telah wujud dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia sejak berzaman . Akan tetapi dengan kemajuan dalam bidang perubatan, peranan mereka perlahan-lahan digantikan oleh jurukhatan yang terlatih dalam bidang perubatan moden iaitu pakar-pakar bedah, doktor-doktor dan para-medik. Kemajuan bidang pembedahan juga telah memperkenalkan variasi Teknik dan kaedah khatan untuk pilihan.
Cuti Sekolah bermula dan kebiasaannya Kanak-kanak lelaki Muslim di atur melalui proses berkhatan di klinik-klinik atau hospital. Ada juga penganjur setempat yang menyediakan kemudahan berkhatan beramai-ramai berserta Majlis meraikan dan kesyukuran. Program berkhatan beramai-ramai telah pun menjadi suatu budaya tradisi di negara ini. Tidak dapat dinafikan terdapat banyak manfaat kepada masyarakat. Selain menjadi suatu tempat pertemuan sosial dan menjalin kerjasama berbagai pihak, ia menjadi saluran Kebajikan melalui sumbangan tenaga dan wang ringgit dalam membantu kanak-kanak yatim, Asnaf dan kurang kemampuan melaksanakan kewajiban tuntutan Islam ini.
Terdapat kes-kes komplikasi khatan telah dilaporkan setiap tahun yang memerlukan perhatian pakar-pakar bedah. Walaupun jumlahnya sedikit, satu makanisma berkesan untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi seperti ini perlu dilakukan. Latihan dan pemantauan kompetensi jurukhatan sangat diperlukan pada masa ini untuk memastikan garispanduan prosedur khatan dilakukan dengan selamat.
SUNATHON adalah satu penggabungan perkataan yang diperkenalkan oleh Pengamal Perubatan Klinik Swasta dari Pertubuhan Doktor – Doktor Islam Malaysia (PERDIM) iaitu SUNAT (khatan) dan MARATHON. PERDIM telah menganjurkan dan terlibat dengan Acara Berkhatan beramai-ramai sejak 2015 lagi. Objektif utama adalah membantu pelaksanaan Khatan yang mematuhi peraturan prosedur perubatan (SOP) dengan kaedah yang Selamat, memudahkan dan cepat untuk ramai kanak-kanak dalam satu masa. Ianya juga satu peluang kebajikan kepada Ahli PERDIM memberikan sumbangan kepada Kanak-kanak dan keluarga kurang berkemampuan mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti.
Justeru , PERDIM pada ketika itu dipengerusikan oleh Dato Dr Shukri Ismail dan dianggotai oleh pengamal perubatan profesional muslim mengorak langkah untuk turun padang menganjurkan dan melaksanakan berkhatan beramai-ramai pada setiap tahun dengan kerjasama berbagai pihak. Pada program sulung SUNATHON 2015, PERDIM telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Masjid Al Ikhlas Seksyen 13 dan Masjid Al Aman Lembah Jaya Selatan, Ampang, Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN kawasa. Jawatankuasa program yang dipengerusikan oleh Dr Norzaidi Zakaria ini dapat mengumpulkan sejumlah sumbangan dan kelengkapan termasuklah khidmat Doktor dan paramedik yang melaksanakan prosedur, peralatan khatan seperti klamp dan alat laser, peralatan steril, ubat-ubatan, cenderahati kanak -kanak dan kewangan dari Ahli – ahli PERDIM dan penderma serta penyumbang dari berbagai sumber. Hampir 500 kanak-kanak telah melalui prosedur ini dengan selamat.
Pada 26 November 2016, SUNATHON PERDANA dengan tema `Potong untuk Sihat‘ telah diadakan di Masjid Putrajaya dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu YAB Dato‘ Seri Najib Abd Razak. Program Kerjasama bersama Kementerian Wilayah Persekutuan, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Putrajaya dan Masjid Putra, Putrajaya ini telah berjaya mengkhatankan seramai 1300 kanak-kanak termasuk 300 orang anak-anak yatim dan kanak-kanak dari golongan asnaf yang dikhatankan secara percuma dan memenuhi tuntutan Islamic Social Responsibility (ISR). Program saringan kesihatan untuk hadirin dan masyarakat setempat juga telah dijalankan serentak .
Tahun berikutnya pada 2017, SUNATHON bertemakan ‘Bersama Melaksana Tanggungjawab Sosial’, PERDIM telah menjalin kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dan Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah. Seramai 200 kanak-kanak termasuk golongan Yatim dan asnaf telah dikhatankan dengan kaedah pembedahan dan klamp oleh lebih 20 orang profesional diketuai oleh Dr Shah Reza Khelikuzaman.
Program SUNATHON membuktikan PERDIM sebagai sebuah persatuan yang dianggotai oleh profesional perubatan Islam dapat memberikan contoh terbaik penekanan kepentingan piawaian mematuhi garispanduan prosedur (SOP), tatacara , kaedah dan perlaksanaan penganjuran berkhatan beramai-ramai yang dilaksanakan di negara ini. Kesungguhan Penglibatan PERDIM dalam meningkatkan Kualiti dan Keselamatan mematuhi garispanduan prosedur Khatan telah diterjemahkan dalam penganjuran Kursus Latihan Prosedur Operasi Standard dan Kompetensi Jurukhatan sejak 2017. Panel adalah terdiri dari Jawatankuasa PERDIM, Pakar Bedah Am dan Pakar Bedah Kanak-kanak serta Ahli PERDIM yang berpengalaman dalam prosedur khatan berbagai teknik dan kaedah seperti pembedahan cautery, peralatan laser, klamp dan stapler.
Objektif latihan bersiri dalam Kursus ini adalah untuk memantau penyeragaman amalan dan prosedur-prosedur khatan, mengenalpasti jurukhatan-jurukhatan yang kompeten sahaja dibenarkan melakukan prosedur khatan, menjadikan prosedur khatan selamat dengan penekanan aspek keselamatan pesakit dan mencapai target ‘komplikasi-sifar’ perlaksanaan khatan. Pelaksanaan Program telah dijalankan secara berperingkat seperti merangka Kertas Kerja Cadangan yang lengkap Kursus Latihan Prosedur Operasi Standard dan Kompetensi Jurukhatan, mendapatkan persetujuan dan pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia, menyediakan jurulatih-jurulatih dan fascilitator-fascilitator yang mahir, menyediakan silibus SOP Khatan yang mengandungi prosedur-prosedur yang lengkap dan sesuai untuk khatan lelaki (bayi, kanak-kanak dan dewasa), melaksanakan latihan SOP dan kompetensi untuk doktor-doktor dan paramedik – paramedik berdaftar.
Usaha- usaha ini telah diteruskan oleh Dr Abdol Rashid bin Masrom yang juga Exco PERDIM melalui MADOCS (Malaysian Doctor of Circumcision Society) dimana beliau adalah Presidennya. Kursus Komprehensif Berkhatan (Comprehensive Circumcision Course) adalah program yang berterusan di aturcarakan. PERDIM dan MADOCS telah dijemput memberikan latihan dan kursus juru khatan oleh beberapa pihak seperti Hospital swasta dan pertubuhan , juga turut menjayakan beberapa program khidmat khatan (CSR) beramai-ramai di beberapa tempat. PERDIM dan MADOCS juga telah dijemput bersama Kementerian Kesihatan Malaysia yang menubuhkan Jawatankuasa Mesyuarat Semakan Garis Panduan Berkhatan (bagi Kanak- kanak lelaki) untuk membincangkan secara terperinci perkara-perkara berkaitan.
Selepas fasa Pandemik, tahun ini PERDIM sekali lagi akan menganjurkan SUNATHON MEGA. Presiden PERDIM Dr Boi Saidi telah menzahirkan kerjasama dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri), Jawatankuasa Masjid Putra Jaya dan Pusat Pungutan Zakat Wilayah. YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Jabatan Wilayah Persekutuan juga dijangka akan merasmikan program pada 2 hb Mac 2024. Kali ini PERDIM mensasarkan seramai 300 orang Kanak kanak Yatim, Asnaf dan tidak berkemampuan untuk dikhatankan secara percuma melalui sumbangan pihak penganjur. PERDIMakan terus merealisasikan slogan Peneraju Kesihatan Ummah dan bersama meningkatkan kualiti amalan perubatan dan kesihatan di Malaysia.
(Dr H -Biro Maklumat & Teknologi)