KENYATAAN AKHBAR PERDIM
Terlebih dahulu PERDIM sebagai Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia yang mewakili para Pengamal Perubatan Am (General Practitioners) di klinik-klinik swasta di seluruh negara ingin menegaskan bahawa kami hanya ingin memberikan pandangan di sudut perkhidmatan kami berkaitan isu yang masih hangat diperkatakan ketika ini iaitu program Parallel Pathway.
Oleh kerana isu ini masih di dalam prosiding mahkamah, maka kami tidak akan menyentuh tentang aspek perundangan mahupun pengiktirafan program ini oleh MQA dan MMC. Apa yang kami ingin suarakan di sini adalah lebih bersifat umum yang melibatkan program Parallel Pathway ini untuk latihan kepakaran terutamanya di bidang Perubatan Keluarga (Family Medicine).
Umum mengetahui bahawa sejak sekian lama proses latihan kepakaran pelbagai bidang termasuklah di bidang Perubatan Keluarga (yang lebih bersesuaian dengan kami) di negara ini telah melalui pelbagai evolusi sejak negara ini mencapai kemerdekaan lagi. Jika dahulu proses latihannya dijalankan tanpa suatu struktur yang jelas di mana seseorang doktor yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat kepakaran
akan mengambil peperiksaan (melalui inisiatif sendiri) yang disediakan oleh pihak kolej perubatan atau pembedahan yang berkenaan di luar negara seperti di UK, Australia dan sebagainya disamping terus bekerja di hospital masing-masing melalui bimbingan secara berterusan oleh Pakar-Pakar Perunding atau Ketua Jabatan di sesuatu bidang di hospital masing-masing.
Selepas seseorang doktor itu lulus kesemua peringkat di dalam peperiksaan kepakaran tersebut (teori dan klinikal) di luar negara, maka mereka ini dikehendaki pula melalui proses pewartaan (gazettement) untuk suatu tempoh tertentu dan biasanya lebih kurang 18 bulan di bawah pengawasan para pakar perunding di sesebuah hospital sebelum mereka disahkan sebagai seorang Doktor Pakar di bidang tersebut. Keadaan berubah apabila keperluan mendapatkan perkhidmatan doktor pakar tempatan semakin meningkat dan ianya turut mengubah sistem latihan kepakaran para doktor tempatan secara lebih sistematik, terancang dan berstruktur melalui program-program Master dipelbagai bidang termasuklah Perubatan Keluarga (Family Medicine) oleh pelbagai universiti awam ketika itu seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
Namun begitu negara masih juga mengalami kekurangan tenaga doktor pakar di pelbagai bidang kerana bilangan lulusan yang dapat dihasilkan melalui program-program Master pelbagai bidang kepakaran oleh universiti tempatan adalah amat terbatas. Maka, muncullah idea untuk mewujudkan peluang tambahan melalui program-program pengajian kepakaran melalui Parallel Pathway yang diusahakan oleh pelbagai
badan profesional berkaitan dengan kerjasama kolej-kolej perubatan antarabangsa seperti di UK dan Australia serta mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Terdapat pelbagai kebaikan dan manfaat jangkapanjang yang boleh diperolehi melalui program-program Parallel Pathway sebegini diantaranya:
a) Membuka peluang yang lebih meluas dan saksama kepada semua doktor yang berminat menyambung pelajaran di peringkat kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menampung keperluan sistem kesihatan negara
b) Kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel serta mesra pelatih (para doktor yang masih bekerja sepenuh masa) di hospital dan klinik di seluruh negara melalui kaedah pembelajaran di dalam talian (online learning) disamping kerjakursus, bengkel, seminar,
latihan amali, buku log, penilaian di tempat kerja secara berterusan dan peperiksaan akhir.
c) Meningkatkan jumlah lulusan doktor-doktor pakar pelbagai bidang pada kadar yang lebih pantas bagi mencapai sasaran nisbah doktor pakar kepada jumlah penduduk yang menyamai atau hampir menyamai kadarnya di negara-negara maju. Sebagai contoh, buat masa ini program Master dalam bidang Perubatan Keluarga (Family Medicine) di Universiti-Universiti tempatan hanya dapat menghasilkan diantara
100-150 orang graduan pada setiap tahun berbanding dengan dua buah program Parallel Pathway di AFPM & MinTFM yang dapat menghasilkan lebih kurang 200 orang graduan setahun. dan setakat ini jumlah keseluruhan bilangan Doktor Pakar Perubatan Keluarga (Family Medicine Specialist) di negara ini hanyalah sekitar 1,300 orang berbanding jumlah yang diperlukan untuk mencapai kadar seorang doktor pakar
Perubatan Keluarga kepada 4,000 orang penduduk (1:4,000) bagi lebih 32 juta orang rakyat Malaysia ialah sebanyak 8,000 orang Pakar Perubatan Keluarga (iaitu memerlukan lebih kurang 6,700 orang doktor Pakar Perubatan Keluarga lagi.
Buat masa ini kadar bilangan doktor pakar Perubatan Keluarga kepada jumlah penduduk di negara maju seperti UK, Australia dan Ireland adalah di dalam lingkungan 1:2,000 iaitu 1:1,200 di UK; 1:1,000 di Australia dan 1:2,500 di Ireland.
d) Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia telahpun membentangkan pelan reformasi sistem kesihatan kebangsaan di sidang parlimen pada 15hb. Julai, 2023 yang antara lain menekankan kepentingan pemerkasaan sistem penjagaan kesihatan primer (Primary Health Care) sebagai tunjang pemacu kejayaan dalam menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan jangkapanjang, kesihatan mental dan kesihatan warga emas, rawatan dan pencegahan penyakit bukan berjangkit/kronik atau NCD (Non-Communicable Diseases) dan kualiti kesihatan warganya yang lebih baik dan berkesan serta menjimatkan.
Maka, soal latihan kepakaran melalui program Parallel Pathway terutamanya di bidang kepakaran Perubatan Keluarga (Family Medicine) ini bukan saja perlu diberikan tempat dan pengiktirafan yang sewajarnya malah patut diperkasakan lagi melalui penyertaan pelbagai pihak yang terlibat termasuklah sumbangan yang boleh dimainkan oleh pelbagai badan profesional dan persatuan perubatan seperti PERDIM, IMAM,
MMA, FPMPAM dan MPCAM ke arah memastikan bahawa program-program Parallel Pathway ini bukan saja berkualiti, selamat dan memenuhi piawaian antarabangsa, malah akan turut menepati kehendak dan keperluan semasa negara pada kadar yang lebih pantas secara lebih tuntas dan berkesan melalui penglibatan pelbagai pihak.
Kesimpulannya, PERDIM menyokong sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan dalam meminda Akta Perubatan 1971 yang berkaitan bagi membolehkan program-program Parallel Pathway untuk semua jenis kepakaran dapat diperkasakan lagi tanpa halangan dari segi perundangan dan pengiktirafan agar negara akan dapat menghasilkan lebih ramai doktor pakar pelbagai bidang di masa depan disamping tidak mengetepikan ciri-ciri kualiti, akreditasi, keselamatan dan kecemerlangan para graduan yang bakal dilahirkan kelak.